Friday, August 20, 2010

MPMUTM bantu capai misi tingkat produk inovasi

BAGI menyokong pemilihan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai universiti penyelidik kelima negara, Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM (MPMUTM) berhasrat membantu meningkatkan produk inovasi peringkat institusi, sekali gus menjadikan UTM pusat kecemerlangan ilmu, produktiviti dan kreativiti.
Presidennya, Muhammad Zaki Omar berkata, sokongan itu diharap mampu melonjakkan status UTM sebagai institusi tersohor negara.


Menurutnya, MPMUTM berusaha mengetengahkan idea serta produk mahasiswa ijazah sarjana muda yang turut setanding dan berpotensi di peringkat sarjana dan doktor falsafah.


"Selalunya hanya idea dan produk program sarjana dan doktor falsafah diberi perhatian, kali ini kita turut menghargai penghasilan mahasiswa peringkat ijazah sarjana muda.


"Langkah ini bertujuan mendedahkan mereka dengan suasana baru pembelajaran yang berorentasikan penciptaan. Ia juga platform mencari pengalaman baru, selain memantapkan penguasaan ilmu dan insaniah.


"Paling penting, industri dapat mengenali dan mencungkil potensi mereka. Sudah tentu impaknya besar bukan saja pada mahasiswa tapi institusi," katanya.


Bagi merealisasikannya, MPMUTM berhasrat menganjurkan Inovation Day UTM, selewat-lewatnya tahun ini.


Program itu akan menjadi platform mahasiswa menyumbang idea, prototaip dan produk untuk dinilai pihak industri.


Ia terbuka kepada mahasiswa antarabangsa sebagai langkah UTM menuju pengantarabangsaan.


Mengenai kebajikan mahasiswa, Muhammad Zaki berkata, semua rungutan terutama mengenai Internet dan pengangkutan sudah diatasi.


MPMUTM turut mengalu-alukan perkongsian idea bagi memantap dan memperbaiki perkhidmatan, justeru mahasiswa terbuka memberi pandangan atau teguran.

(sumber : harian metro)

No comments:

Post a Comment