Friday, August 20, 2010

Ikut piawai antarabangsa

SUDAH ada lima Universiti Penyelidikan negara sekali gus membuktikan proses penjanaan dan pembudayaan ilmu semakin meningkat serta diperakui.Kewibawaan Universiti Penyelidikan sentiasa mendapat perhatian sekali gus menjadi cabaran kepada institusi terbabit mengekalkan kecemerlangan.

Bagaimanapun, di tengah kerancakan memperkasakan mutu pendidikan negara, wujud suara sumbang bahawa kemampuan dan status prestij itu hanya gah dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa, kita tertinggal jauh.

Label jaguh kampung, stigma yang kurang menyenangkan sedangkan Kementerian Pengajian Tinggi melakukan pelbagai usaha meningkatkan status itu.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang, berkata tidak adil masyarakat membandingkan institusi negara dengan institusi luar terutama yang lama menempa nama selain melabelkan institusi tempatan hanya gah atau jaguh kampung.

Beliau berkata, penubuhan Universiti Penyelidikan bukan usaha yang boleh diperlekehkan kerana syarat ditetapkan bukan mudah sebaliknya memenuhi piawaian di peringkat antarabangsa."Saya tidak gemar tindakan masyarakat membandingkan institusi tempatan dengan antarabangsa. Walaupun tidak salah, ia boleh menjatuhkan kredibiliti kita.

"Menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah. Universiti Penyelidikan dibangunkan atas wawasan merencanakan ilmu menjadi wadah tertinggi, profesional dan diiktiraf," katanya.
UTM menjadi Universiti Penyelidikan kelima negara pada 10 Jun 2010 menyertai empat lagi institusi lain iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Beliau berkata, sebagai Universiti Penyelidikan, banyak tanggungjawab dan cabaran terpaksa dilunaskan, antaranya memastikan peningkatan graduan pasca siswazah yang menjadi salah satu syarat utama selain penyelidikan, penerbitan dan pengantarabangsaan.

"Bukan mudah memastikan wacana pendidikan institusi pendidikan negara setanding institusi lebih tersohor. Meskipun dianggap institusi baru, ia mampu melakar nama dan menyahut cabaran itu.

"Universiti Penyelidikan menjadi peneraju dan contoh kepada institusi pengajian tinggi lain," katanya.

Beliau mengakui, kekangan kewangan adalah masalah utama di Universiti Penyelidikan kerana kos penyelidikan bukan murah.

"UTM menyediakan peruntukan dan bersedia berdepan cabaran. Penting proses penjanaan ilmu dan tanggungjawab berjalan seiring," katanya.

Ditanya wujudkah persaingan antara Universiti Penyelidikan sedia ada Dr Zaini, berkata senario itu wajar dilihat serta dinilai melalui sudut positif.

"Persaingan itu sihat kerana Universiti Penyelidikan sedia ada pasti berusaha menampilkan kualiti dan persembahan terbaik. Ia positif dalam konteks pembangunan pendidikan negara kerana masing-masing mahu melahirkan kecemerlangan.

"Isu remeh tidak perlu dipolitikkan. Lebih baik bekerjasama bagi memastikan negara dan masyarakat memperoleh manfaat di masa depan," katanya.

(sumber : harian metro)

MPMUTM bantu capai misi tingkat produk inovasi

BAGI menyokong pemilihan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai universiti penyelidik kelima negara, Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM (MPMUTM) berhasrat membantu meningkatkan produk inovasi peringkat institusi, sekali gus menjadikan UTM pusat kecemerlangan ilmu, produktiviti dan kreativiti.
Presidennya, Muhammad Zaki Omar berkata, sokongan itu diharap mampu melonjakkan status UTM sebagai institusi tersohor negara.


Menurutnya, MPMUTM berusaha mengetengahkan idea serta produk mahasiswa ijazah sarjana muda yang turut setanding dan berpotensi di peringkat sarjana dan doktor falsafah.


"Selalunya hanya idea dan produk program sarjana dan doktor falsafah diberi perhatian, kali ini kita turut menghargai penghasilan mahasiswa peringkat ijazah sarjana muda.


"Langkah ini bertujuan mendedahkan mereka dengan suasana baru pembelajaran yang berorentasikan penciptaan. Ia juga platform mencari pengalaman baru, selain memantapkan penguasaan ilmu dan insaniah.


"Paling penting, industri dapat mengenali dan mencungkil potensi mereka. Sudah tentu impaknya besar bukan saja pada mahasiswa tapi institusi," katanya.


Bagi merealisasikannya, MPMUTM berhasrat menganjurkan Inovation Day UTM, selewat-lewatnya tahun ini.


Program itu akan menjadi platform mahasiswa menyumbang idea, prototaip dan produk untuk dinilai pihak industri.


Ia terbuka kepada mahasiswa antarabangsa sebagai langkah UTM menuju pengantarabangsaan.


Mengenai kebajikan mahasiswa, Muhammad Zaki berkata, semua rungutan terutama mengenai Internet dan pengangkutan sudah diatasi.


MPMUTM turut mengalu-alukan perkongsian idea bagi memantap dan memperbaiki perkhidmatan, justeru mahasiswa terbuka memberi pandangan atau teguran.

(sumber : harian metro)

Campus Sustainability Forum

Tarikh : 26 Ogos 2010 (Khamis)
Masa : 10:00 pagi hingga 12:00 tengah hari
Tempat : Dewat Senat, Bangunan Sultan Ibrahim, UTM

Tajuk : SUSTAINABLE BUILDING DESIGN

Moderator:
Prof. Madya Dr. Zaharah Ibrahim (Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan, FBB)

Panel:
1) Prof. Dr. Noor Aini Abdul Rashid (Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan, FBB)
2) Ar. Hajjah Mumtazah Mustajab (Pengarah Projek Pembangunan, nextGRID SB)

Anda Semua Dijemput Hadir.

(sumber : MPMUTM)

Kejayaan kali kelima berturut-turut sejak diperkenal pada 2005

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) muncul juara Kejohanan Mendayung Jemputan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) 2010 buat kali kelima berturut-turut sejak diperkenalkan pada 2005 yang berlangsung di Kompleks Sukan Air, Putrajaya, baru-baru ini.
UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) muncul juara Kejohanan Mendayung Jemputan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) 2010 buat kali kelima berturut-turut sejak diperkenalkan pada 2005 yang berlangsung di Kompleks Sukan Air, Putrajaya, baru-baru ini.
UTM unggul dengan 114 mata meninggalkan pencabar terdekatnya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan UNITEN, 72 dan 68 mata sekali gus menduduki tempat kedua dan ketiga. Kapten pasukan UTM, Mohd Ridzuan Abdul Halim, 24, berkata pasukan UTHM sentiasa memberikan saingan sengit kepada mereka sejak sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia yang lepas.

”Walaupun lawan memiliki saiz fizikal lebih besar ternyata ia bukan penghalang kepada kami untuk memenangi kejohanan ini buat kali kelima berturut-turut tahun ini.

”Kami sentiasa berlatih selama dua jam pada waktu petang bagi memantapkan kemahiran dan pada hujung minggu pula kami akan berlatih di Ulu Yam, Selangor di bawah pengawasan Persatuan Mendayung Malaysia,” katanya.

Pasukan johan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta piala pusingan dan sijil penyertaan. Hadiah disampaikan Naib Canselor UNITEN, Prof Datuk Ir Dr Mashkuri Yaacob kepada pemenang.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Alumni dan Pengurusan UNITEN, Dr Mohamed Nasser Mohamed Noor dan Ketua Pegawai Operasi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir Azman Mohd.

Kejohanan anjuran UNITEN dengan kerjasama TNB dan Persatuan Kayak Malaysia itu disertai 13 pasukan institut pengajian tinggi iaitu Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara, UTHM, Universiti Pertahanan Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Kuala Lumpur dan Chinese University of Hong Kong, Hong Kong.

(sumber : berita harian)

Friday, August 13, 2010

DISKUSI ASPIRASI "MAHASISWA & POLITIK KEPARTIAN"

Diskusi Aspirasi "MAHASISWA & POLITIK KEPARTIAN" akan diadakan pada :

Tarikh : 22 OGOS 2010 (AHAD)
Masa : 9 pagi - 12.30 tengahari
Pendaftaran : 8.45 pagi
Tempat : Dewan Seri Melati Perbadanan Putrajaya (depan Istana Kehakiman)
Panel : YB Datuk Mukhriz Mahathir
Mohd Shahar Abdullah
Ahmad Wafi

Sebarang masalah & pengesahan kehadiran hubungi Saudara Syukri 0137792523