Friday, August 20, 2010

Ikut piawai antarabangsa

SUDAH ada lima Universiti Penyelidikan negara sekali gus membuktikan proses penjanaan dan pembudayaan ilmu semakin meningkat serta diperakui.Kewibawaan Universiti Penyelidikan sentiasa mendapat perhatian sekali gus menjadi cabaran kepada institusi terbabit mengekalkan kecemerlangan.

Bagaimanapun, di tengah kerancakan memperkasakan mutu pendidikan negara, wujud suara sumbang bahawa kemampuan dan status prestij itu hanya gah dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa, kita tertinggal jauh.

Label jaguh kampung, stigma yang kurang menyenangkan sedangkan Kementerian Pengajian Tinggi melakukan pelbagai usaha meningkatkan status itu.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang, berkata tidak adil masyarakat membandingkan institusi negara dengan institusi luar terutama yang lama menempa nama selain melabelkan institusi tempatan hanya gah atau jaguh kampung.

Beliau berkata, penubuhan Universiti Penyelidikan bukan usaha yang boleh diperlekehkan kerana syarat ditetapkan bukan mudah sebaliknya memenuhi piawaian di peringkat antarabangsa."Saya tidak gemar tindakan masyarakat membandingkan institusi tempatan dengan antarabangsa. Walaupun tidak salah, ia boleh menjatuhkan kredibiliti kita.

"Menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah. Universiti Penyelidikan dibangunkan atas wawasan merencanakan ilmu menjadi wadah tertinggi, profesional dan diiktiraf," katanya.
UTM menjadi Universiti Penyelidikan kelima negara pada 10 Jun 2010 menyertai empat lagi institusi lain iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Beliau berkata, sebagai Universiti Penyelidikan, banyak tanggungjawab dan cabaran terpaksa dilunaskan, antaranya memastikan peningkatan graduan pasca siswazah yang menjadi salah satu syarat utama selain penyelidikan, penerbitan dan pengantarabangsaan.

"Bukan mudah memastikan wacana pendidikan institusi pendidikan negara setanding institusi lebih tersohor. Meskipun dianggap institusi baru, ia mampu melakar nama dan menyahut cabaran itu.

"Universiti Penyelidikan menjadi peneraju dan contoh kepada institusi pengajian tinggi lain," katanya.

Beliau mengakui, kekangan kewangan adalah masalah utama di Universiti Penyelidikan kerana kos penyelidikan bukan murah.

"UTM menyediakan peruntukan dan bersedia berdepan cabaran. Penting proses penjanaan ilmu dan tanggungjawab berjalan seiring," katanya.

Ditanya wujudkah persaingan antara Universiti Penyelidikan sedia ada Dr Zaini, berkata senario itu wajar dilihat serta dinilai melalui sudut positif.

"Persaingan itu sihat kerana Universiti Penyelidikan sedia ada pasti berusaha menampilkan kualiti dan persembahan terbaik. Ia positif dalam konteks pembangunan pendidikan negara kerana masing-masing mahu melahirkan kecemerlangan.

"Isu remeh tidak perlu dipolitikkan. Lebih baik bekerjasama bagi memastikan negara dan masyarakat memperoleh manfaat di masa depan," katanya.

(sumber : harian metro)

No comments:

Post a Comment